(1) SEJARAH RINGKAS FAHAMAN WAHHABI - disusun & diterbitkan pada 2006 oleh Mujahid Abdul Wahab - Universiti al Azhar.

Fahaman Wahhabi atau Wahhabisme dinisbahkan kepada pengasasnya Muhammad ibn Abdul Wahhab yang dilahirkan di Najd, Makkah al Mukarramah. Fahaman ini lebih secocok digelar wahhabisme kerana ia adalah satu fahaman yang diasaskan berdasarkan pemikiran Muhammad ibn Abdul Wahhab dan kurang tepat digelar sebagai mazhab Wahhabi. Ini kerana mazhab-mazhab Islam bukanlah satu fahaman yang diasaskan oleh pemikiran imam yang empat, akan tetapi ialah kaedah mengeluarkan hukum yang disusun oleh mereka berdasarkan dari al Qur’an dan Sunnah serta amalan para sahabat RA.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa kelahiran Muhammad ibn Abdul Wahhab ini telah diramalkan oleh Rasulullah SAW bersama kelahiran golongan-golongan penyeleweng yang lain. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Ya Allah, berkati negeri Yaman kami, Ya Allah berkatilah negeri Syam kami. Sahabat bertanya: Bagi negeri Najd kami wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAWbersabda: Di sana akan munculnya kegempaan aqidah dan di sanalah akan tumbuh tanduk syaitan”.

Para ulama’ telah mengupas hadith ini berdasarkan pengkajian yang teliti meliputi aspek sejarah perkembangan zaman. Akhirnya mereka mendapati bahawa negeri Najd yang tidak didoakan oleh Rasulullah SAW itu adalah tempat kelahiran beberapa golongan sesat seperti Musailamah al Kazzab (Nabi Palsu) Zulkhuwaisarah al Tamimi (pemimpim kaum khawarij yang sesat) dan akhir sekali ia merupakan tempat kelahiran Muhammad ibn Abdul Wahhab pengasas gerakan Wahhabi.

Muhammad ibn Abdul Wahhab menuntut ilmu di Mekah dan Madinah. Akan tetapi apa yang dapat diperhatikan oleh ayahanda dan kekandanya yang bermazhab Hanbali, dia amat gemar dan begitu cepat melatah apabila mengkaji fatwa-fatwa Ibnu Taimiah. Seperti mana yang dimaklumi bahawa Ibnu Taimiah amat banyak mengeluarkan fatwa-fatwa yang tersasar dari kebenaran serta mencarik persepakatan ulama (ijma’) sehingga mencecah 60 permasalahan agama. Beberapa perkara termasuk dalam perbahasan usul dan selebihnya dalam perbahasan furu’ (cabang).

Di antara fatwa yang cukup menyebabkan kemarahan ulama’ Islam pada zamannya ialah beliau menyatakan bahawa bermusafir untuk menziarahi kubur Rasulullah SAW adalah musafir yang maksiat, tidak harus menjamak dan qasar solat kerana ia adalah perbuatan haram dan berdosa. Dalam masa yang sama, ia bermaksud sesiapa yang mati dalam perjalanan ke Madinah untuk menziarahi Maqam Rasulullah SAW, maka dia mati dalam melakukan dosa.

Perkara ini amat susah untuk diterima oleh akal yang sihat kerana kadangkala mereka mengharuskan hukum menziarahi kubur, akan tetapi mengharamkan musafir untuk menziarahinya. Ini bermaksud hanya penduduk Madinah sahaja yang tidak berdosa apabila pergi menziarahi Rasulullah SAW.

Dan bagaimana pula dapat diterima akal apabila seorang mukmin umat ini yang amat merindui kekasihnya Rasulullah SAW, mencintai Baginda SAW dengan sepenuh hati untuk menziarahinya di Madinah akan tetapi dianggap melakukan dosa dan maksiat. Suatu perkara yang benar-benar menghiris hati dan sensitiviti umat Islam.

Ini adalah sebesar-besar penyelewengan Ibnu Taimiah terhadap sunnah salafussoleh dan sekaligus menjadi dalil yang ampuh dalam menyatakan bahawa mazhab salafi yang dibawa oleh Ibnu Taimiah adalah jauh tersasar dari pegangan dan amalan salafussoleh RA. Maka mazhab salafi yang dimaksudkan oleh Ibnu Taimiah dan pengikut-pengikutnya adalah dakwaan semata-mata.

Dalam menyanggah kewujudan mazhab Salafi ini, Dr. Muhammad Said Ramadhan al Buti telah mengarang sebuah kitab yang bertajuk “ Al Salafiyyah Marhalah Zamaniyyah al Mubarakah, La Mazhab Islami”. (al Salafiyyah adalah Satu Peringkat Zaman Yang diberkati, Bukan Mazhab Islam).

Memerhatikan gelagat Muhammad ibn Abdul Wahhab yang gemar berfatwa dengan fatwa-fatwa Ibnu Taimiah yang salah itu, para guru dan syeikh-syeikhnya telah berfirasat bahawa Muhammad ibn Abdul Wahhab ini akan menjadi seorang yang sesat dan mulhid. Menyedari hakikat ini, ayahanda dan kekandanya bernama Syeikh Sulaiman ibn Abdul Wahhab yang merupakan ulama’ Mazhab Hanbali ketika itu telah menyanggahnya dengan mengeluarkan risalah bagi menolak pendapat-pendapatnya yang bertajuk ‘Al Sowa’iq al Ilahiyyah fi Raddi ‘ala al Wahhabiyyah’. (Petir yang dibangsakan kepada Ilahi pada menolak fahaman Wahhabi).

[ ke episod 2 ]