(2) GERAKAN DAKWAH MUHAMMAD IBN ABDUL WAHHAB - disusun & diterbitkan pada 2006 oleh Mujahid Abdul Wahab - Universiti al Azhar. [ rujuk episod 1 ]

Muhammad ibn Abdul Wahhab memulakan siri dakwahnya dengan berpegang kuat dengan fatwa-fatwa Ibnu Taimiah yang salah. Beliau mula menyampaikan ilmu dari satu kawasan ke suatu kawasan di tanahairnya. Akan tetapi disebabkan kawasan Mekah dan Madinah ketika itu masyhur sebagai lubuk ulama’ dan pusat keilmuan Islam, ulama-ulama berjaya menyedarkan masyarakat awam tentang kesesatan Muhammad ibn Abdul Wahhab dan keburukan dakyahnya. Maka pada setiap kampung yang dikunjungi olehnya, dia diusir dan dihalau dengan penuh kehinaan kerana membawa ajaran yang menyeleweng dan tersasar dari Aqidah Ahli Sunnah dan Feqh yang muktabar.

Untuk mencari ruang mengembangkan dakyahnya itu, beliau akhirnya berjaya mempengaruhi pemimpin di sebuah kawasan bernama Dir’iyyah bagi menggunakan kekuasaan politik untuk menyebarkan dakyahnya. Lama kelamaan ajaran Muhammad ibn Abdul Wahhab merebak sedikit demi sedikit terutama bagi golongan awam yang tidak berpengetahuan, golongan-golongan arab Badwi serta orang asli di kawasan Makkah lalu mereka berjaya menghasilkan satu gerombolan tentera.

Ulama’ Islam dari kalangan Ahli Sunnah di Mesir, Syam dan Hijaz ketika itu yang berteduh di bawa lembayung Khilafah Islam Turki Uthamaniyyah telah mengingatkan bahaya gerakan Muhammad ibn Abdul Wahhab yang sesat ini. Untuk menyekat gerakan mereka, Khilafah Islam telah mengambil langkah dengan mengambil kira pendapat-pendapat ulama’ agar gerakan dan tentera Wahhabi ini dihalang dari memasuki Mekah dan Madinah agar umat Islam terpelihara dari dakyah-dakyah mereka yang sesat.

Rentetan dari itu semua, pihak Wahhabi telah melakukan serangan terhadap tentera pemerintah Mekah dan tentera Khilafah Turki Uthmaniyyah serta berlakulah banyak episod peperangan sengit di antara mereka dengan tentera Khilafah Islam yang dipimpin oleh Gabenor Khilafah Islam di Mesir Muhammad Ali Basha. Kebanyakkan siri peperangan bagi menghapuskan golongan Wahhabi (khawarij moden dan pemberontak) ini dimenangi oleh tentera Khilafah Turki Uthmaniyyah. Namun sedikit sebanyak memberi kesan dalaman kepada kerapuhan Khilafah Islam di Turki.

Menurut para ulama dan para pengkaji sejarah, serangan pihak Wahhabi inilah yang telah meretakkan dari dalam keampuhan Khilafah Islam Uthmaniyyah lalu digunakan sepenuhnya oleh Mustofa Kamal Attarturk dan negara barat bagi meruntuhkan khilafah Islam di Turki. Retak yang menanti belah ini akhirnya digunakan oleh mereka bagi mengakhiri kegemilangan Khilafah Islam yang terakhir di dunia pada ketika itu dengan bantuan golongan pemberontak dalaman dari golongan kaum Wahhabi.

[ ke episod 3 ]