(3) DAKWAAN MUHAMMAD IBN ABDUL WAHHAB YANG BATIL - disusun & diterbitkan pada 2006 oleh Mujahid Abdul Wahab - Universiti al Azhar. [ rujuk episod 2 ] - [ mula episod 1 ]

Ramai di kalangan masyarakat awam dan segelintir ahli agama telah dikelirukan oleh dakwaan Muhammad ibn Abdul Wahhab yang mana sekiranya dikaji dari sudut agama dan sejarah, dakwaan ini tidak lain hanyalah omongan kosong yang disampaikan oleh pengikut Muhammad ibn Abdul Wahhab bagi merealisasikan cita-cita dan matlamat mereka. Di antara dakwaan tersebut ialah:

Dakwaan

Muhammad ibn Abdul Wahhab adalah tokoh mujaddid dan mujtahid yang berjuang menyampaikan dakwah tauhid, membongkar penyelewengan, membasmi perkata bid’ah dan khurafat yang berleluasa di sekitar Makkah dan Madinah pada ketika itu”.

Jawapannya

Ulama-ulama Islam telah bangkit menjawab tuduhan yang tidak berasas ini berdasarkan fakta agama dan sejarah. Dakwaan ini jelas kebatilannya apabila kita mengkaji latarbelakang Makkah dan Madinah yang pada ketika itu adalah lubuk bagi ribuan ulama Islam yang agung dan muktabar. Juga menjadi pusat penyebaran ilmu Islam yang terulung. Segala hukum-hakam dilakukan berlandaskan syariat dan khilafah Islam telah menyediakan kanun dan undang-undang yang terperinci bagi setiap kesalahan syarak baik dari segi hukum-hakam dan aqidah.

Kebatilan dakwaan ini jelas apabila ia menafikan bahawa seolah-olah pada zaman itu sudah tiada ulama pembawa kebenaran, membasmi kemaksiatan dan kemungkaran. Dalam masa yang sama juga, dakwaan batil ini menafikan keistimewaan umat Muhammad SAW yang mana pada setiap zaman umat Islam sentiasa akan ada golongan yang benar (sawad al A’zom/kelompok terbesar umat Islam) yang berada atas landasan tauhid dan iman.

Akan tetapi Muhammad ibn Abdul Wahhab telah menafikan semua ini hanya dengan pendapatnya yang seorang sahaja. Adakah dapat diterima akal bahawa hanya Muhammad ibn Abdul Wahhab sahaja yang menyedari bahawa pada zaman itu Makkah dan Madinah dipenuhi dengan perkara syirik, bid’ah dan khurafat? Dimanakah ribuan dan jutaan ulama serta cerdik pandai umat Islam yang seolah-olah tidak menyedari tentang perkara ini? Adakah mereka semua buta, pengecut dan tidak seorang pun dari ribuan ulama tersebut bangkit membasmi bid’ah dan khurafat?

Maka tinggal di kotak fikiran kita sekarang ini sama ada dakwaan perseorangan Muhammad ibn Abdul Wahhab itu betul atau ribuan ulama’ Makkah dan dunia Islam yang betul, sedangkan Muhammad ibn Abdul Wahhab pernah mengeluarkan kenyataan bahawa:

“Sesungguhnya kesemua umat Islam yang hidup selama 600 tahun sebelumku berada dalam kejahilan dan kesyirikan”.

Kenyataan batil beliau ini menunjukkan bahawa yang jahil dan sesat adalah beliau sendiri, bukan ulama pada zamannya atau 600 tahun sebelum kelahirannya. Ini kerana, dakwaan beliau ini menunjukkan bahawa kesemua Ulama Ahli Sunnah yang lahir selepas salafussoleh termasuk Imam Ghazali, Imam Nawawi, Imam Izzuddin bin Abdussalam, Imam Suyuti, Ibnu Hajar al Asqalani, al Haithami semuanya adalah jahil dan syirik pada kaca mata Muhammad ibn Abdul Wahhab.

Dari semua ini, ulama berjaya membongkar dakyah dan pembohongan Muhammad ibn Abdul Wahhab yang dilakukan atas nama dakwah membasmi bid’ah dan khurafat. Kerana menurut Muhammad ibn Abdul Wahhab, mengambil berkat dengan orang soleh, tempat-tempat yang diberkati, kesan-kesan para Nabi dan orang soleh adalah syirik, padahal jumhur ulama’ Ahli Sunnah dan Mazhab 4 yang muktabar mengharuskan amalan mengambil berkat dari setiap benda berdasarkan amalan para sahabat mengambil berkat dengan mencium tangan dan kaki Nabi, mencium rambut tinggalan Nabi, mencium jubah dan baju Nabi, ia adalah jauh dari disifatkan sebagai syirik dan bid’ah seperti mana dakwaan Ibnu Taimiah dan Muhammad ibn Abdul Wahhab.

Dalam sebuah athar, Rasulullah SAW masuk ke dalam rumah lalu meminum air dari qirbah (bekas air daripada kulit), maka Ummu Sulaim (bonda kepada Anas ibn Malik) memotong muncung qirbah bekas mulut Rasulullah SAW tersebut, Maka Rasulullah SAW bertanya: Apa yang engkau lakukan wahai Ummu Sulaim? Beliau menjawab: Kami mengharapkan keberkatannya bagi anak-anak kami”.

Maka sunnah mengambil berkat dari kesan-kesan peninggalan Rasulullah SAW dan orang soleh, dari pakaian, kesan tapak kaki dan segala macam tinggalan mereka adalah disyariatkan berdasarkan hadith di atas. Maka adalah batil dakwaan Muhammad ibn Abdul Wahhab bahawa mengambil berkat dari mengusap batu, tanah dan kesan tinggalan Rasulullah SAW dan orang soleh adalah syirik dan bid’ah serta khurafat.

Seterusnya dakwaan Muhammad ibn Abdul Wahhab membasmi bid’ah ialah kerana pada kaca matanya, amalan menziarahi kubur Rasulullah SAW dan orang-orang soleh adalah bid’ah dan sesat, kerana beliau berpegang kuat dengan fatwa Ibnu Taimiah yang menyeleweng mengenai perkara ini.

[ ke episod 4 ]