(4) DAKWAAN KAUM WAHHABI BAHAWA MEREKA MENGIKUT SUNNAH DAN MENOLAK BID'AH. - disusun & diterbitkan pada 2006 oleh Mujahid Abdul Wahab - Universiti al Azhar. [ rujuk episod 3 ] - [ mula episod 1 ]

Di antara keburukan kaum wahhabi bagi mengaburi mata masyarakat ialah dengan menyatakan bahawa mereka adalah golongan yang mengikut sunnah dan tidak terikat dengan mana mazhab. Mereka melarang umat Islam mengikut mana-mana mazhab 4 yang muktabar dan mewajibkan umat Islam beramal berdasarkan dalil dari al Qur’an dan Sunnah.

Saya secara peribadi tidak pernah bertemu dengan orang yang paling jahil tentang sunnah melainkan mereka yang menyeru manusia mengikut sunnah dan melarang mengikut mana-mana mazhab. Seperti mana yang kita ketahui bahawa mazhab bukanlah agama yang diasaskan oleh imam yang empat tersebut. Bahkan ia adalah rahmat bagi umat Islam untuk menjalani kehidupan beragama dari segi hukum hakam dan syariat dengan mudah, aman dan sejahtera. Semua mazhab beramal dengan sunnah Nabi SAW, akan tetapi ia dirumus dan simpulkan lalu dikeluarkan hukum untuk terus diamalkan oleh orang awam.

Islam adalah agama yang universal dan mementingkan segala aspek kehidupan. Kita memerlukan jurutera, doktor, akauantan dan peguam di dalam sebuah masyarakat Islam. Maka kewujudan mazhab adalah rahmat bagi umat Islam kerana golongan di atas tidak perlu mencari dalil serta belajar agama sehingga ke akar umbi untuk mengamalkan ibadat dan syariat.

Sekiranya semua umat Islam perlu menjadi mujtahid dan menumpukan 100% kehidupan mengkaji dalil-dalil untuk beramal ibadat, maka siapa pula yang akan memajukan Islam dari segi kemajuan pembangunan, membina fly over, MRR2, mencari gali minyak, merawat pesakit, mencari akar kayu dan tongkat Ali, menanam padi, menjual nasi lemak, taufu fa serta menjual kuih-muih di pasar Ramadan?

Maka mazhab Islam adalah konklusi yang dikumpulkan oleh ulama’ mazhab dari kefahaman para sahabat terhadap sesuatu sunnah. Kerana para sahabat apabila ditanya mengenai sesuatu hukum, kadangkala mereka mengemukakan dalil, kadangkala mereka terus menyatakan hukum tanpa menyebut dalil bagi memudahkan orang awam agar terus mengamalkannya tanpa memeningkan kepala. Begitu juga apa yang ada pada mazhab yang empat, ia menjadi rahmat bagi umat Islam dalam menyeimbangkan pembangunan rohani dan material.

Yang menjadi pelik dan ganjil serta menzahirkan kebatilan golongan wahhabi yang menyeru agar mengikut sunnah tanpa mazhab, mereka melarang manusia mengikut cara amalan mazhab Islam yang empat, akan tetapi dalam masa yang sama mereka menyeru dan mewajibkan umat Islam mengikut cara amalan mereka. Sesuatu yang amat memalukan apabila mereka melarang sesuatu, akan tetapi mereka tidak menyedari bahawa mereka melakukannya.

Maka slogan ‘Kami mengikut sunnah’ dan ‘Negeri Darussunnah’ adalah slogan yang diperjuangkan oleh golongan yang paling jahil mengenai sunnah serta menjadikan sunnah sebagai topeng dan mengaburi mata masyarakat awam. Seperti mana ahli bid’ah menggunakan janggut yang lebat untuk mengaburi mata orang awam bagi menyatakan bahawa merekalah yang paling sayangkan sunnah Nabi dan paling bersungguh dalam mengamalkan sunnah Nabi.

Apabila ada slogan ‘Negeri Darussunnah’ maka akan adalah pula Negeri lain yang akan diistilahkan sebagai ‘Negeri Separa Sunnah’. Atau yang lebih dahsyat lagi akan ada Negeri yang ditabalkan sebagai ‘Darul Bid’ah’.

[ ke episod 5 ]