(5) WAHHABI BUKANLAH SATU MAZHAB YANG MUKTABAR. - disusun & diterbitkan pada 2006 oleh Mujahid Abdul Wahab - Universiti al Azhar. [ rujuk episod 4 ] - [ mula episod 1 ]

Begitu ramai di kalangan masyarakat awam bahkan segelintir penuntut ilmu agama berpendapat bahawa fahaman Wahhabi adalah satu mazhab Islam dan khilaf yang berlaku antara Wahhabi dan Mazhab yang empat adalah khilaf yang terpuji dan dimaafkan.

Hakikatnya sangkaan mereka adalah jauh tersasar. Saya secara peribadi mendengar seorang bertanya di dalam majlis pengajian Tuan Guru Haji Abdullah ibn Abdurrahman tentang fahaman Wahhabi, Tuan Guru pondok Lubuk Tapah, Kelantan yang ditabalkan di antara ulama yang paling alim dalam Negeri Kelantan; Maka beliau menjawab:

“Kita kena faham, Wahhabi bukan tergolong di kalangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah, perbezaan Wahhabi dengan Ahli Sunnah umpama langit dengan bumi”.

Ini adalah perkataan yang saya dengar dengan telinga saya sendiri (setelah saya terjemahkan dari loghat kelantan ke Bahasa Melayu persuratan) daripada seorang ulama terkemuka Negeri Kelantan sekitar tahun 1998 ketika bermusafir ke Pasir Mas. Saya secara peribadinya pula merasakan beliau lebih layak digelar The Legend Of Pasir Mas berbanding insan-insan jelita di sana.

Di antara keistimewaan mazhab Islam yang empat ialah setiap mazhab mengakui bahawa antara satu sama lain terdapat perselisihan dalam beberapa permasalahan cabang (furu’) akan tetapi semua ini tidak menafikan sikap hormat menghormati antara satu sama lain. Mereka menghormati setiap pendapat mazhab yang lain kerana masing-masing percaya dan yakin bahawa semua mazhab mengambil dalil dan hujjah dari al Qur’an dan Sunnah serta amalan para sahabat RA.

Oleh yang demikian kita tidak mendapati mereka berbunuhan atau bersengketa antara satu sama lain kerana kefahaman yang amat mendalam mengenai adab perselisihan pendapat. Pengikut mazhab Syafii tidak menyesatkan pengikut-pengikut mazhab lain yang tidak membaca basmalah ketika membaca al Fatihah dan tidak membaca qunut di dalam solat subuh. Manakala pengikut mazhab Hanafi pula tidak pernah menghukum sesat pengikut mazhab Syafii yang membaca qunut ketika solat subuh.

Akan tetapi kita mendapati perkara yang sebaliknya berlaku apabila sesuatu mazhab berhadapan dengan fahaman Wahhabi. Apabila ada beberapa perkara yang tidak secocok dengan fahaman mereka seperti membaca basmalah dan qunut, maka mereka akan melontarkan tuduhan bid’ah dan sesat kepada selain mereka dan mengiktiqadkan bahawa yang melakukan amalan ini semuanya akan masuk ke dalam neraka.

Maka di sini kita akan mendapat bahawa fahaman Wahhabi adalah satu fahaman yang amat ekstrim terhadap golongan yang tidak sehaluan dengan mereka dalam segenap segi. Juga menjadi bukti yang kukuh bahawa fahaman ini bukanlah mazhab yang muktabar bahkan adalah satu fahaman yang menyeleweng dari segenap arah.

Oleh itu melabelkan khilaf yang dicetuskan oleh pendokong Wahhabi sebagai khilaf yang dimaafkan adalah salah dan tidak tepat kerana kaum Wahhabi tidak menghormati mana-mana mazhab lain di permukaan bumi bahkan begitu mudah mengkufurkan, mensyirikkan serta menyesatkan pengikut mazhab lain yang bersalahan dengan mereka walaupun mengenai perkara cabang yang amat remeh.

Merujuk kepada sejarah perkembangan ini yang berkembang ke Tanah Melayu Nusantara pada awal 1920 an, kita akan mendapati bahawa fahaman modenisasi ini adalah satu fahaman baru yang banyak memporak perandakan kesatuan umat Islam di Tanah Melayu Nusantara. Mereka membakar api persengketaan dengan ulama-ulama di Negeri Pattani, Tanah Melayu dan Indonesia sehingga masyarakat menjadi bingung.

Mereka juga membangkitkan rasa was-was masyarakat Islam terhadap pegangan Mazhab Asya’irah dan Mazhab Syafii yang dipegang kemas selama ratusan tahun dengan penuh kesejahteraan lalu menjadikan golongan awam tertanya-tanya adakah betul apa yang diamalkan oleh ulama-ulama, kiai-kiai dan Tuan-tuan Guru di nusantara selama ini?

Tahun demi tahun fahaman ini akhirnya berjaya sedikit demi sedikit menjajah pemikiran generasi muda kita. Sehingga hari ini kita tidak merasa hairan apabila pengikut fahaman Wahhabi akan mengkafirkan serta menyesatkan ayah dan ibu mereka sendiri kerana mereka berpendapat ayah dan ibu mereka adalah golongan pengambil berkat dari Tuan-tuan guru, berpegang dengan Mazhab Asy’ari dalam (aqidah) dan Mazhab Syafii dalam (hukum-hakam syariat).

Bahkan yang lebih dahsyat daripada itu ada di kalangan mereka menyatakan bahawa sesiapa yang berkahwin dan diwalikan oleh si fulan yang bermazhab dengan mazhab Abu Hasan al Asy’ari dalam aqidah, makan hendaklah melaksanakan akad nikah semula kerana pada kaca mata mereka, perkahwinan tersebut tidak sah kerana diwalikan oleh orang yang sesat.

Ini adalah sebesar-besar penipuan Wahhabi terhadap Allah dan RasulNya. Sekaligus membuka mata umat Islam bahawa mereka hanyalah golongan yang sesat serta akan menyesatkan sesiapa yang ditaqdirkan oleh Allah untuk menjadi sesat.

[ ke episod 6 ]